Friday, September 20, 2013

Anak mati di pusat asuhan

"Saya lihat kepalanya sudah terkulai ketika meletakkannya di kerusi bayi didal;am kereta..."
Sumber dari:Hmetro
KUALA LUMPUR: "Saya lihat kepalanya sudah terkulai ketika meletakkannya di kerusi bayi di dalam kereta malah muka dan bibir sudah kebiruan malah ketika menjerit memanggil namanya pun anak saya tidak membalasnya," kata Muhamad Norman Rosman, 26. bapa kepada bayi lelaki berusia tujuh bulan yang maut di pusat asuhan kanak-kanak di Wangsa Maju, di sini, semalam.
Bayi malang itu, Muhamad Qhaliff Muhamad Norman disahkan oleh doktor meninggal dunia dua jam sebelum bapanya menjemput anaknya itu kira-kira jam 5.30 petang semalam. 
Menceritakan kejadian itu, Norman berkata, dia menjemput anaknya itu seperti biasa di pusat asuhan terbabit dan menyangka anaknya sedang tidur.

Menurutnya, bagaimanapun sebaik masuk ke dalam kereta dia terkejut apabila kepala anaknya terkulai sementara muka dan bibir kebiruan.
Foto

"Saya kemudian meminta penjelasan pekerja di situ namun jawapan diberikan mengecewakan kerana mereka memberitahu tidak mengetahui apa yang berlaku kepada anak saya.

"Bimbang dengan keadaan Qhaliff saya terus menghantarnya ke sebuah klinik swasta berhampiran sebelum doktor mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia lebih kurang dua jam," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, malam tadi.

Norman berkata, dia sekali lagi mendapatkan penjelasan daripada pekerja pusat asuhan itu dan memaklumkan kejadian menimpa anaknya.

"Ketika itu baru mereka memberitahu anak saya sebelum itu ada mengalami muntah darah namun mereka menyangka tidak serius dan tidak memaklumkan kejadian itu kepada saya dan isteri.

"Tindakan mereka tidak memaklumkan kejadian itu mengecewakan saya kerana sejak lahir anak saya tidak mempunyai masalah sebaliknya hanya sukar minum susu," katanya.

Beliau berkata, dia menghantar anaknya itu bersama seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun kira-kira jam 11.30 pagi.

"Ketika itu anak saya ceria dan bermain dengan kakaknya seperti biasa. Namun tidak menyangka perkara ini terjadi dan saya juga sudah membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Wednesday, September 18, 2013

Isteriku Gengster (Isteri Kaki Pukul

'Dia menendang pintu bilik sehingga berkecai sebelum membelasah suaminya yang bersembunyi di situ, menyebabkan mangsa cedera dan berdarah di kepala. Itulah tindakan ganas seorang wanita terhadap suaminya, selepas mengesyaki lelaki itu bermain kayu tiga di belakangnya...'

Sumber dari: Harian Metro

Kajang: Dia menendang pintu bilik di rumahnya di Saujana Impian, di sini, sehingga pecah sebelum memukul dan menendang suaminya yang bersembunyi di dalam.
Itulah tindakan ganas seorang wanita berusia 38 tahun terhadap suaminya berusia 40 tahun selepas mengesyaki lelaki itu menduakannya.

Akibat kejadian kira-kira jam 1.30 pagi Sabtu lalu itu, suami terbabit yang juga peniaga dilaporkan cedera di badan dan kepalanya akibat ditendang dan dipukul isterinya.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kajang, di sini, dan difahamkan dia sudah membuat lima laporan polis berhubung keganasan isterinya yang sering memukulnya sejak lebih tujuh bulan lalu.

Sumber polis berkata, sebelum kejadian awal pagi Sabtu lalu, mangsa yang baru pulang mengajak isterinya yang sedang menonton televisyen di ruang tamu berbincang mengenai masalah keluarga mereka.

“Bagaimanapun, permintaan mangsa dibalas dengan maki-hamun oleh isterinya. Biarpun dipujuk, wanita itu terus memaki hamun mangsa sebelum mengugut untuk membelasahnya,” katanya.
Menurutnya, bimbang dengan ugutan isterinya dan menyedari wanita itu sering bertindak agresif terhadapnya, mangsa segera masuk ke bilik utama rumahnya sebelum mengunci pintu dari dalam.

“Kira-kira 10 minit kemudian, wanita terbabit mengetuk pintu bilik sambil mengarahkan mangsa membukanya, namun mangsa hanya mendiamkan diri di dalam bilik kerana takut dipukul.
“Tindakan mangsa menyebabkan isterinya berang lalu wanita itu menendang pintu bilik sehingga pecah. Selepas masuk, dia terus menendang dan memukul mangsa beberapa kali,” katanya.

Sumber itu memberitahu, ketika ditendang dan dipukul, mangsa tidak melawan sebaliknya hanya meminta dikasihani, namun rayuannya tidak diendahkan isterinya.

“Suspek (isteri) hanya berhenti memukul suaminya itu selepas melihat kepala mangsa berdarah,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian bergegas meninggalkan rumahnya sebelum membuat laporan polis. “Dalam laporannya, mangsa menyatakan dia sering dipukul isterinya sejak lebih tujuh bulan lalu dan sudah membuat lima laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi, mengesahkan menerima lima laporan laporan berhubung kejadian itudan memberitahu semua kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
                                          Sekadar Hiasan-

Tuesday, September 17, 2013

Halau Ibu, Empat Adik... Anak Derhaka

"Seorang peniaga tergamak menghalau ibu dan empat adik-beradiknya yang menetap disebuah rumah teres peninggalan arwah bapanya,

Sumber dari Harianmetro
Kuala Lumpur: Seorang peniaga berusia 40-an sanggup bertindak menghalau ibu dan empat adik- beradiknya yang menetap di sebuah rumah teres peninggalan bapanya di Sungai Besi di sini, kerana ingin menjual rumah berkenaan.
Menurut sumber, suspek bertindak demikian kerana rumah itu kini bernilai lebih RM500,000 dan menjadikan alasan bahawa ibu berusia 67 tahun dan empat adiknya berusia antara 20 hingga 40-an membebaninya.
Harian Metro difahamkan, kejadian berlaku pada jam 9 malam, Khamis lalu.
Mangsa (si ibu) dan empat lagi adik-beradik mula tinggal bersama di rumah berkenaan sejak kematian bapa mereka beberapa tahun lalu.
Menceritakan semula kejadian itu, sumber itu berkata, lelaki terbabit pulang ke rumah dalam keadaan marah lalu menghalau ibunya selain mengarahkan warga emas itu membawa bersama empat adik-beradik lain.
“Suspek menuduh ahli keluarganya itu menambah bebannya yang terpaksa menyara mereka sekeluarga. Malah, dia turut memberitahu mahu menjual rumah berkenaan dan sebuah lagi rumah yang dibeli keluarga berkenaan atas namanya,” katanya memberitahu, ketika kejadian, empat adik-beradik suspek tiada di rumah.
Sumber itu berkata, tindakan suspek menyebabkan ibunya berang sebelum memarahinya menyebabkan mereka terbabit dalam pertengkaran lebih 10 minit.
“Suspek yang hilang pertimbangan itu kemudian mengambil pisau pemotong daging sebelum meletakkan senjata berkenaan di leher ibunya.
“Lelaki terbabit kemudian mengugut untuk membunuh ibunya itu jika permintaannya tidak dipenuhi. Malah, suspek turut merosakkan barangan di dalam rumah itu menggunakan pisau berkenaan,” katanya memberitahu, selain ibunya, suspek turut mengugut untuk membunuh empat lagi adik-beradiknya jika mereka enggan mengosongkan rumah berkenaan.
Menurutnya, suspek hanya berhenti mengamuk dan mengugut ibunya itu apabila melihat ibunya menangis dan merayu dikasihani.
“Biarpun begitu, suspek masih tidak berpuas hati dan mengarahkan ibunya untuk keluar rumah berkenaan keesokan harinya,” katanya.
Katanya, warga emas terbabit yang bimbang dengan ugutan itu membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi, di sini. Harian Metro difahamkan, warga emas bersama empat beradik suspek sudah meninggalkan rumah berkenaan dan kini menumpang di rumah saudara mereka.
Tambahnya, dalam kejadian itu, warga emas terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan difahamkan, pihak berkuasa kini sedang menyiasat kes itu kerana melakukan ugutan jenayah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.


Monday, September 16, 2013

Lelaki separuh bogel mengganas cari anak dara di Padang Midin

Lelaki separuh bogel mengganas cari anak dara di Padang Midin



Sebaik sahaja tersedar daripada tidur, saya lihat ada lelaki separuh bogel memakai topeng ‘Zorro’ berada atas badan. Saya cuba menjerit namun mulut saya penuh dengan cecair seperti minyak dan ditutup,” kata mangsa, seorang pelajar berumur 17 tahun.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, pelajar terbabit mendakwa lelaki separuh bogel itu telah memasukkan cecair seperti minyak dipercayai telah dicampur bahan lain ke dalam mulutnya agar dia tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun lelaki yang tidak memakai seluar itu tidak sempat berbuat apa-apa apabila bapa pelajar terbabit juga tersedar daripada tidur lalu memeriksa bilik anak perempuannya sebelum menyergah lelaki itu yang kemudiannya melarikan diri.
Menurut mangsa, lelaki terbabit hanya sempat mengambil telefon bimbit miliknya dan bersyukur kerana tidak diapa-apakan.
Namun mangsa yang tinggal di Kampung Tok Renek itu masih trauma dan tidak dapat melupakan kejadian menimpanya.
“Nasib baik lelaki itu tidak sempat bertindak ganas dan saya bersyukur kerana kejadian disedari bapa, namun saya tidak akan dapat melupakan kejadian itu sampai bila-bila, malah masih berasa takut seolah-olah dia akan datang semula.
“Keluarga juga risau kejadian berulang dan mereka sudah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payung di Marang dan kami berharap lelaki itu akan dapat diberkas dengan segera” katanya ketika menghubungi Sinar Harian di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan dan menurutnya, kes berkenaan masih dalam siasatan serta disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, difahamkan lelaki separuh bogel dipercayai mengalami masalah mental itu juga digelar sebagai ‘orang minyak’ oleh penduduk kampung kerana sering berkeliaran di sekitar Bukit Payung dan Padang Midin, Kuala Terengganu.
Malah, kelibat lelaki tanpa seluar itu berjaya dirakam penduduk di kawasan berkenaan dan diedarkan kepada umum melalui laman facebook, whatsApp dan media baru lain termasuk gambarnya ditampal di tiang lampu isyarat di kawasan Bukit Payung, di sini.
Kejadian itu juga menyebabkan JKKK Padang Midin dan Belia Bestari (BBest) Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu menubuhkan satu pasukan rondaan di kawasan kampung berkenaan.
Menurut Pengerusi JKKK Padang Midin, Razali Shahul Hamid, rondaan di kawasan kampung bermula pada jam 12 malam hingga 6 pagi setiap hari dan disertai ahli jawatankuasa belia BBest serta penduduk kampung tersebut.
“Rondaan ini telah dijalankan sejak dua tahun lalu dan kita adakan dengan lebih giat selepas beberapa siri kejadian membabitkan lelaki dipercayai kurang siuman yang digelar sebagai orang minyak itu dikatakan mula berkeliaran termasuk di Tok Renek.
“Tok Renek masih di bawah pentadbiran JKKK Padang Midin. Kampung ini terletak di sempadan kawasan polis Kuala Terengganu dan Marang, jadi kami akan memberikan kerjasama penuh dalam membantu dua pihak berkuasa itu memberkas lelaki terbabit,” katanya.-sh

SUMBER: http://terengganutoday.com

SUSULAN BERITA ANGGOTA POLIS MENEMBAK ISTERI DAN MERTUA....“Polis Pernah Kata Nak Tembak Orang” – Abang Ipar

perna
LEDANG – Lans Koperal Fadzly Omar, 29, yang menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum menembak dirinya sendiri pernah menyatakan dia akan menembak seseorang sambil menunjukkan pistol dipinggangnya.
Perkara itu diberitahu abang iparnya Ezam Abdul Kadir, 34, ketika mereka bersembang pada hari raya bulan lalu.
Ezam memberitahu pemberita pada mulanya beliau menganggap perkara itu sebagai gurauan adik iparnya itu tanpa mengesyaki apa-apa.
“Saya fikir dia mahu menembak penjenayah atau peragut. Saya tidak sangka dia benar-benar melakukan perkara itu,” katanya di rumah mayat hospital di sini.
Dalam kejadian antara pukul 7 hingga 7.15 malam tadi itu, suspek bertindak menembak bapa mentuanya Abd Kadir Md Arif, 66, di rumah bapa mentuanya di Jalan Sialang, Padang Lerek 1 di sini sebelum menembak dirinya sendiri.
Sebelum itu suspek dengan menggunakan Revolver .38  menembak isterinya Norakmal Abdul Kadir, 28, di Pondok Polis Felda Chemplak, Labis, Segamat sebelum memandu kereta dengan membawa anak lelakinya yang berumur dua tahun ke rumah bapa mentua yang terletak kira-kira 90 kilometer dari situ katanya kepada Bernama.
Ezam berkata sebaik tiba di rumah bapa mentuanya, adik iparnya itu lalu masuk ke dalam rumah dan meminta beliau dan adik perempuannya Norzafira, 26 keluar dan meninggalkan dia bersama bapanya di ruang tamu.
“Sewaktu saya di dapur dan baru hendak menyuap kuih ke dalam mulut, saya terdengar bunyi letupan seperti bunyi mercun. Saya menjenguk ke luar tingkap dan saya dapati tiada sesiapa pun yang bermain mercun.
“Saya rasa tidak sedap hati dan terus keluar dari dapur dan masuk ke ruang tamu dan ternampak ayah dan adik ipar saya terlentang berlumuran darah,” katanya.
Beliau berkata bapanya yang masih bernafas segera dikejarkan ke hospital oleh orang ramai dan meninggal sebaik tiba sementara adik iparnya itu mati di tempat kejadian.
Ezam mengakui hubungan antara suspek dengan isteri suspek agak dingin sejak kebelakangan ini kerana si isteri dikatakan tidak tinggal bersama suspek di Pondok Polis Felda Chemplak, Labis.
“Adik saya akan pergi tinggal bersama pada setiap petang Jumaat selepas habis kerja dan pulang ke Tangkak pada petang Ahad. Petang Jumaat lalu, dia seperti biasa pergi menemui suaminya di Labis bersama anak lelakinya dan arwah ada meminta saya tinggalkan wang RM10 untuk bekalan ke sana. Itulah kali terkahir saya jumpa arwah,” katanya.
Sementara itu ibu mentua suspek Rogayah Alip, 62, berkata menantunya itu seorang yang pendiam dan jarang bercampur dengan anggota keluarga mereka.
Beliau berkata semasa kejadian, beliau baru tiba di rumah setelah keluar membeli barang keperluan dapur bersama salah seorang anak lelakinya Mohamad Syarazi, 25.
“Sebaik keluar dari kereta, makcik terdengar bunyi dua kali letupan. Ingatkan bunyi mercun tetapi makcik terkejut apabila anak perempuan makcik Norzafira yang sedang bermain dengan anak lelaki arwah menjerit apabila ternampak ayah dan abang iparnya terbaring dengan berlumuran darah di dalam rumah,” katanya.
Jenazah Norakmal dan Abdul Kadir dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gontang, Tangkak selepas waktu maghrib manakala jenazah Fadzly dibawa pulang ke Felda Palong 3, Negeri Sembilan.

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...