Wednesday, February 29, 2012

Bola Sepak: Jurulatih Dan Tiga Pemain Selangor Digantung Perlawanan



KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Jurulatih pasukan bola sepak Selangor, K.Devan serta pemain tengahnya Mohd Hardi Jaafar masing-masing digantung enam perlawanan dan didenda RM6,000, ekoran insiden tegang pada perlawanan peringkat separuh akhir Piala FA di Negeri Sembilan pada 3 April lepas.

Pengerusi jawatankuasa tatatertib Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) Kamarudin Abdullah berkata dua lagi pemain pasukan itu masing-masing dijatuhi hukuman gantung empat perlawanan dan denda RM2,000.

Beliau berkata K.Devan didapati bersalah mengacau penolong pengadil satu, Mohd Kamil Tumin, dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya, manakala Mohd Hardi yang merupakan bekas pemain kebangsaan pula didapati bersalah menolak dan memukul belakang pengadil itu.

Katanya penyerang utama Selangor Mohd Safee Sali pula didapati bersalah menolak Mohd Kamil manakala pemain pertahanan Selangor, Razman Roslan bersalah menampar pemain Negeri Sembilan, Shahruain Abu Samah.

"Semua tertuduh dipanggil untuk memberikan penjelasan dan pihak jawatankuasa mendapati kesemuanya bersalah di bawah kod etika Tatatertib FAM 2010," katanya ketika dihubungi Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai perkara itu, hari Khamis.

Kamaruddin berkata hukuman itu berkuatkuasa mulai Sabtu ini apabila Selangor turun menentang KL Plus di Stadium Shah Alam, di mana Devan tidak akan dibenarkan untuk bersama-sama pemain di bangku simpanan, manakala ketiga-tiga pemain itu tidak dibenarkan beraksi.

Kesemua mereka dituduh melakukan perbuatan itu pada perlawanan pusingan kedua separuh akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, apabila Selangor tewas dengan peraturan gol di tempat lawan setelah terikat dengan agregat 2-2.

Suasana menjadi tegang setelah pengadil perlawanan, Ibrahim Mohamad tidak memberikan sepakan penalti walaupun pemain-pemain Selangor mendakwa bola terkena tangan pemain Negeri Sembilan, Mohd Syukor Adan di dalam kotak penalti pada minit ke-58.

No comments:

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...