SMS cerai dihantar Aidil kepada Rita sah
Seremban: Kemelut rumah tangga pemain bola sepak kebangsaan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak, 26, dan isterinya, dramatis popular Rita Rudaini Mokhtar, 37, yang berlarutan lebih setahun lalu selesai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah di sini, yang mengesahkan pasangan itu bercerai talak satu, semalam.
Hakim Syarie Hamizan Mohd Nor memutuskan lafaz cerai luar mahkamah menerusi SMS (pesanan khidmat ringkas) yang dibuat oleh Aidil (plaintif) terhadap isterinya (defendan) pada 4 Ogos lalu antara jam 4 hingga 5 petang adalah sah selain berpuas hati dengan keterangan kedua-dua pihak.
Sebaik mendengar keputusan mahkamah itu, pasangan terbabit yang kelihatan tenang beredar tanpa berjumpa antara satu sama lain.
Terdahulu, Rita Rudaini tiba di mahkamah jam 10.30 pagi sambil ditemani beberapa rakan manakala Aidil Zafuan tiba bersama bapa dan abangnyakira-kira jam 11 pagi.
Terdahulu, Rita Rudaini tiba di mahkamah jam 10.30 pagi sambil ditemani beberapa rakan manakala Aidil Zafuan tiba bersama bapa dan abangnyakira-kira jam 11 pagi.
Prosiding yang mengambil masa 30 minit itu dimulakan dengan peguam Aidil Zafuan iaitu Roshdan Sujak Rafie menyoal balas anak guamnya.
Roshdan: Kamu datang mahkamah hari ini untuk apa?
Aidil : Saya mahu sahkan cerai.
Roshdan : Bila berlaku cerai?
Aidil : 4 Ogos 2013
Roshdan : Jam berapa?
Aidil : Tak ingat jam berapa.
Roshdan : Boleh kamu beritahu mahkamah, apakah kandungan lafaz cerai dalam SMS itu?
Aidil : Ni kau nak dgr (dengar) sendiri kan. Hari ni aku cerai kan kau talak 1. jelas yer...salam.. saya penat dah nak ikut rentak awak ni. tahap kesabaran sy (saya) dah terbatas. nak selesai cara elok awak taknak. nak panjang2 kan. Pas tu (selepas itu) sebok carik hal dgn (dengan) sy. skrg (sekarang) dah jelas yer.
Roshdan : Sebelum kamu hantar kepada defendan, ada kamu baca SMS itu?
Aidil : Sebelum hantar, saya baca dekat 10 kali.
Roshdan: Kamu kata dah baca, kamu faham apa kamu tulis dan kesan daripada lafaz cerai itu?
Aidil : Saya faham.
Roshdan : Kamu ada niat nak ceraikan?
Aidil : Saya ada niat.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
‘Saya kesal Aidil tidak sabar’
Seremban: “Alhamdulillah semuanya sudah berakhir, jodoh kami setakat di sini saja, dengan keputusan ini berakhirlah semua konflik rumah tangga saya selama ini.
“Bagaimanapun, saya kesal kerana Aidil tidak sabar dan bertindak terburu-buru menceraikan saya tanpa mengikut proses yang sepatutnya. Bagi saya tindakan Aidil menceraikan saya melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) ini umpama menghina saya sebagai seorang isteri dan wanita serta mahkamah,” kata pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 37, yang sah bercerai dengan pemain bola sepak kebangsaan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak, 26, di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam. Rita yang berbaju kurung moden dan bertudung dilihat tenang ketika Hakim Syarie Hamizan Mohd Nor memutuskan penghakiman itu sebaik mendengar hujahan kedua-dua pihak. “Semuanya sudah selesai, saya berharap jika Aidil ditakdirkan mempunyai jodoh dengan wanita lain, saya doakan dia bahagia dan menjalankan tanggungjawab sebaiknya sebagai suami,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.
Sementara itu, Aidil ketika ditemui mengakui sedih dengan perceraian itu, tetapi terkilan dengan sikap Rita yang memburukkan namanya melalui media sosial.
“Dia melepaskan geram dengan cara itu sedangkan hal rumah tangga tidak boleh dihebohkan. Apapun dia pernah menjadi isteri dan masih ibu kepada anak-anak saya.
“Saya sedih dengan perceraian ini, tetapi reda atas apa yang berlaku kerana saya yakin ada hikmah di sebaliknya,” katanya. Aidil yang juga pemain Johor Darul Takzim itu berkata, perceraian itu berpunca daripada kesilapan mereka dan tiada kena mengena dengan orang ketiga atau keluarganya. “Biarlah masalah ini saya simpan dan tidak perlu orang lain tahu. Namun, saya mahu menasihati Rita, sekiranya ditakdirkan berkahwin lain, tolong jaga maruah suami, jangan sesekali mengaib kan suami,” katanya. Katanya, siapa yang tidak sedih apabila perkahwinan yang pada mulanya suka sama suka akhirnya berakhir begini. “Saya reda dan terima jodoh kami hanya setakat ini saja, tetapi tidak pernah berdendam dengan Rita,” katanya. Aidil dan Rita bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada Februari 2008 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 10 bulan.