Tiada jejak MH370 di koridor utara
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya empat negara yang terletak di koridor utara operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 memaklumkan tidak mengesan sebarang jejak pesawat itu melintasi ruang udara negara mereka.
Pihak berkuasa penerbangan awam dan tentera di India, Pakistan, Kazakhstan dan Kyrgyzstan menegaskan, radar awam atau tentera pasti dapat mengesan pergerakan pesawat itu jika benar ia melintasi ruang udara mereka. Malah, pejuang Taliban di sempadan pergunungan Pakistan - Afghanistan turut menafikan kemungkinan MH370 melintasi kawasan mereka.
Malaysia mengumumkan pencarian pesawat penumpang Boeing 777-200ER milik MAS yang hilang pada 8 Mac lalu diperluas ke koridor utara menghala Kazakhstan dan Kyrgyzstan manakala koridor selatan ke Lautan Hindi selepas siasatan mendapati pesawat itu berpatah balik ketika berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Antarabangsa Lumpur (KLIA) Sepang ke Beijing.
Jawatankuasa Penerbangan Awam Kazakhstan mengesahkan tidak mengesan sebarang 'penggunaan tanpa sekatan' di ruang udaranya 8 Mac lalu.
Jawatankuasa Penerbangan Awam Kazakhstan mengesahkan tidak mengesan sebarang 'penggunaan tanpa sekatan' di ruang udaranya 8 Mac lalu.
EMPAT negara di koridor utara serta Taliban yang menguasai sempadan Afghnistan-Pakistan turut nafikan kelibat MH370. Grafik Hanafi Nordin
"Walaupun semua sistem di dalam pesawat dimatikan, agak mustahil pesawat dapat terbang tanpa dikesan," kata Timbalan Ketua jawatankuasa itu Serik Mukhtybayev.
Katanya, MH370 berupaya terbang sehingga Kazakhstan tetapi ia akan dikesan sebaik memasuki ruang udara negaranya.
"Pihak tentera mengawasi ruang udara negara ini dan pesawat juga terpaksa merentasi ruang udara beberapa negara lain. Zon penerbangan ini dipantau dengan teliti. Kami pasti akan menerima maklumat daripada negara berkenaan," katanya.
Sementara itu, pihak penerbangan awam Kyrgyzstan juga menolak kemungkinan pesawat itu hilang berhampiran negaranya.
"Pesawat ini tidak terbang di ruang udara Kyrgyzstan. Tentera Udara Russia dan Amerika Syarikat yang berpangkalan di negara ini mempunyai alat radar yang pasti dapat mengesan pesawat ini," kata Timbalan Presiden Lapangan Terbang Awam Manas dekat Bishkek, Dair Tokobayev.
Pegawai penerbangan awam Pakistan, India dan Afghanistan turut menjelaskan mereka tidak tahu lokasi MH370 walaupun telah maklum dengan pencarian pesawat itu telah diperluaskan ke wilayah berkenaan.
"Idea bahawa pesawat terbang di ruang udara India selama beberapa jam tanpa dikesan adalah sesuatu yang tak masuk akal," kata pegawai Kementerian Pertahanan India yang tidak mahu dikenali.
Menurutnya, laporan itu tidak berasas kerana juruterbang terbabit perlu tahu lokasi tepat semua radar dan sistem pemantauan di India jika mahu mengelak daripada dikesan sedangkan pemantauan di ruang udara India amat ketat berikutan krisis sempadan yang dihadapi dengan jirannya Pakistan.
Pegawai tentera India yang mengulas teori MH370 terbang melintasi banjaran Himalaya yang kurang mendapat liputan radar pula menjelaskan, rupa bumi banjaran itu memerlukan kepintaran dan kemahiran juruterbang tentera untuk berbuat demikian.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan juga memberitahu pihaknya tidak mengesan sebarang keganjilan di ruang angkasanya selepas MH370 dilaporkan hilang.
"Kami telah memeriksa rekod radar kami dalam tempoh berkenaan tetapi gagal menemui sebarang bukti kehadiran pesawat itu,” katanya.
Malah, teori mengatakan MH370 melintasi kawasan pergunungan di sempadan Pakistan - Afghanistan yang menjadi lokasi Taliban berkubu juga ditolak oleh kumpulan pejuang itu.
Jurucakap Taliban di Afghanistan Zabihullah Mujahid berkata, kehilangan pesawat itu tidak ada kena mengena dengan mereka.
"Ia berlaku di luar Afghanistan dan anda sendiri boleh lihat bahawa negara yang memiliki peralatan dan kemudahan canggih sekalipun tidak tahu ke mana perginya pesawat itu. Oleh itu, kami juga tidak ada sebarang maklumat, lagi pun ia urusan negara luar,” katanya. - AGENSI
Sumber:hmetro