Kuala Lumpur: Bagaikan tajuk filem popular Istanbul Aku Datang, seorang guru wanita sanggup terbang hampir 11,000 kilometer ke Istanbul, Turki, semata-mata untuk menemui kekasihnya yang hanya dikenalinya melalui Internet.
“Saya bukan ditipu. Biarpun kami hanya berkomunikasi melalui Internet dan tak pernah berjumpa secara berdepan saya memang menyintainya,” kata Darlina Kamal, 28, yang kini berada Gaziantep, Turki, ketika dihubungi Harian Metro.
Graduan undang-undang yang bertugas di utara tanah air itu berkata, ketika ini dia mengambil cuti tanpa gaji dan terbang ke Turki pada 27 September lalu.
Graduan undang-undang yang bertugas di utara tanah air itu berkata, ketika ini dia mengambil cuti tanpa gaji dan terbang ke Turki pada 27 September lalu.
Darlina berkata, dia akan pulang ke Malaysia untuk berkahwin dengan teman lelakinya, Bozkurt Tarkan Demirkiran, 39, Januari tahun depan dan selepas itu akan berhenti kerja.
Malah, dia juga bersedia untuk menukar kerakyatan apabila memutuskan untuk terus tinggal di negara itu bersama bakal suaminya.
Menurutnya, sepanjang berada di Turki sejak hampir tiga bulan lalu dia tinggal bersama keluarga bakal mentuanya dan mendakwa dilayan dengan baik.
“Saya sudah pun menempah tiket balik ke tanah air pada Januari depan untuk membawa pulang teman lelaki. Kami sudah bersedia untuk berkahwin.
“Dia (kekasihnya) masih bujang dan bekerja di syarikat membuat permaidani. Ibu saya juga sudah bersetuju dengan pilihan hati saya,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu. Mengimbas kisah perkenalannya dengan Bozkurt, Darlina berkata, dia berkenalan dengan lelaki itu melalui laman sembang sosial Facebook (FB) pada April lalu sebelum hubungan mereka berlanjutan hingga kini.
Menurutnya, selepas menemui keserasian dan saling jatuh cinta mereka berbual menerusi laman sembang Skype hampir setiap hari.
Ibu Darlina, Che Zan Ramli, 58, berkata, pada mulanya memang dia menentang niat anaknya untuk berkahwin dengan lelaki Turki.
Menurutnya, dia juga cuba menghalang pemergian Darlina ke Turki pada September lalu kerana bimbang anaknya menjadi mangsa penipuan lelaki warga asing, selain mahu Darlina berkahwin dengan lelaki tempatan.
“Sebagai ibu, seboleh-bolehnya tidak mahu dia berpisah jauh daripada keluarga. Namun, apabila dia bertegas dan selepas saya fikirkan semula, saya reda kerana sedar tak sepatutnya saya menghalang hasratnya nak berumah tangga.
“Biarpun lepas ini dia tinggal di Turki dan jadi warga negara itu, saya sanggup melawatnya biarpun saya sebenarnya ada masalah kesihatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Che Zan yang menetap di Parit Buntar, Perak berkata, dia kini berfikiran positif dengan menganggap anaknya itu antara kes bertuah dalam percintaan Internet.
Dia berharap Darlina dikategorikan dalam 10 peratus wanita yang berjaya dalam percintaan Internet kerana dalam kebanyakan kes, wanita kerap ditipu lelaki yang dikenali menerusi laman sosial.
“Naluri ibu kuat mengatakan dia akan bahagia. Saya lebih mengetahui anak sendiri daripada orang lain. Kini saya berhubung dengan Darlina hampir setiap hari melalui Skype. Teman lelakinya itu juga sudah bercakap dengan saya,” katanya.
Sumber: harian metro
No comments:
Post a Comment