Raut wajahnya jelas menggambarkan penderitaan yang terpaksa dipikul seorang diri sejak menetap di Tunisia selama 33 tahun, selepas bertemu jodoh dengan seorang pejuang revolusi dari negara terkecil di benua Afrika Utara itu.
Lebih menyedihkan, ketika arwah suaminya, Mohamed Moncef Ouerghui, ditahan dan meringkuk di penjara hampir 16 tahun atas arahan pemerintah ketika zaman penuh pergolakan di Tunisia, Normah Abdul Aziz, 55, berusaha membesarkan sembilan anak yang berusia antara empat bulan hingga 11 tahun seorang diri di bumi asing.
Menyingkap kisah hidupnya, Normah berkata sebaik suaminya ditahan pihak berkuasa atas tuduhan menentang kerajaan, dunianya seakan-akan gelap seketika dan hilang punca terutama untuk membesarkan anak-anak mereka.
Sejak berkahwin pada 1981 selepas berkenalan di sebuah bank di Kuala Lumpur, seterusnya melangsungkan perkahwinan dan menetap di Tunisia, dia tidak bekerja dan hanya menjaga anak di rumah.
Sejak berkahwin pada 1981 selepas berkenalan di sebuah bank di Kuala Lumpur, seterusnya melangsungkan perkahwinan dan menetap di Tunisia, dia tidak bekerja dan hanya menjaga anak di rumah.
“Selepas suami ditahan, selama enam bulan saya hanya duduk di dalam bilik di rumah sewa dan tidak keluar-keluar. Anak-anak yang masih kecil menangis kelaparan, duduk mengelilingi saya tetapi saya tidak peduli.
“Semangat saya seakan-akan hilang dan rasa macam tidak mampu berbuat apa-apa. Saya tidak membayar sewa rumah dan duduk saja.
“Mujur ada saudara-mara suami, tuan rumah dan rakan prihatin yang tetap membantu memberikan makan minum kepada anak-anak saya,” katanya sambil menahan sebak.
Namun semangatnya seolah-olah melonjak kembali apabila salah seorang rakannya mengajak dia ke rumah untuk melihat keadaan hidup mereka sekeluarga.
Normah berkata, berbanding dirinya yang mempunyai ramai anak, rakannya itu memiliki hanya tiga cahaya mata namun dua daripada mereka yang berusia 11 dan 12 tahun tidak mampu berdikari kerana kelainan upaya.
Rakannya itu terpaksa membawa dua anak–nya itu yang berkerusi roda ke sekolah dengan menunggu bas di tepi jalan dan apabila bas sampai dia mengangkat mereka menaiki bas.
“Melihatkan penderitaannya yang terpaksa berbuat demikian setiap hari dan betapa tabah dia mengharungi kehidupan begitu, tidak semena-mena membuatkan semangat saya pulih dan melonjak kembali.
“Saya dapat merasakan betapa besarnya kuasa Allah. Biarpun anak saya ada sembilan orang, semuanya sempurna, ada dua kaki dan dua tangan, boleh berdikari dan saya terus menanam azam untuk menjalani hidup dengan semangat baru,” katanya.
Menurut Normah, sebelum berkahwin dia sangat aktif dalam kegiatan sukan termasuk bola sepak, taekwondo, lontar lembing serta hoki dan pernah menyertai pertandingan sukan sehingga peringkat kebangsaan.
Selepas berkahwin, dia meninggalkan semua aktiviti lasak dan lebih menumpu perhatian kepada suami dan anak-anak.
Dia ditatang bagai minyak yang penuh oleh suami dan setiap kemahuan akan dipenuhi termasuk pemandu yang disediakan untuk membawanya ke mana-mana saja yang dimahukan.
Namun selepas suaminya ditahan, semua keistimewaan itu hilang malah Normah terpaksa mencari duit dengan cara membeli pakaian borong dan menjualnya semula dari pintu ke pintu serta menjual sambal dengan pertolo–ngan anak sulung yang masih berusia 11 tahun ketika itu.
“Bagaimanapun, tidak mudah untuk mencari rezeki kerana pihak berkuasa kerajaan ketika itu sentiasa memerhatikan kami sekeluarga, termasuk mengganggu saya dan anak-anak hampir setiap hari.
“Mereka mengikut anak-anak ke mana saja hingga ada anak yang tidak mahu pulang ke rumah kerana takut,” katanya.
Penderitaannya tidak berhenti setakat itu kerana sering diganggu oleh pihak polis yang berkunjung ke rumahnya tanpa mengira masa dan menyoalnya bertalu-talu untuk mendapat pelbagai maklumat.
Katanya, pihak polis tidak membenarkan sesiapa membantu dia dan anak-anaknya dan jika ada yang berani, mereka akan ditahan dan dipenjarakan.
Namun katanya, kekuasaan Allah dapat dirasakan sepanjang penderitaannya itu kerana dalam kesusahan, Tuhan tetap menyalurkan rezeki melalui jiran tetangga yang membantunya tanpa diketahui siapa mereka, malah tidak dapat dikesan pihak berkuasa.
Disebabkan dia masih mampu meneruskan kehidupan bersama sembilan anak, pihak berkuasa tidak berpuas hati dan selalu datang untuk menyoal mengenai bantuan yang diterima.
“Saya kata pada mereka Allah yang membantu saya dan jika mereka mahu saya berikan nama orang yang membantu saya, sudah pasti saya tidak akan memberikannya.
“Akibat ketegasan saya itu, pihak berkuasa mengambil jalan lain untuk menambah derita saya termasuk memaksa tuan rumah menghalau saya keluar sekiranya tidak mahu anak perempuan mereka diapa-apakan.
“Berikutan itu, saya pernah merempat di tepi jalan bersama anak-anak dan tidur beberapa hari di sebuah rumah sewa pelajar Malaysia, Thailand dan Indonesia di Tunisia, yang baik hati membantu saya.
“Ketika itu tidak ada Kedutaan Malaysia di Tunisia tetapi ada di negara berjiran. Saya meminta bantuan daripada Kedutaan Indonesia sebelum mereka menghubungi Kedutaan Malaysia yang datang segera membantu saya,” katanya.
Penderitaannya berkurang apabila pihak Kedutaan Malaysia meminta pihak berkuasa Tunisia untuk berhenti mengganggu dia dan anak-anaknya.
Sebaliknya, pihak polis Tunisia diminta memberikan waran terlebih dulu kepada Normah sekiranya mereka memerlukan sebarang maklumat.
Pihak kedutaan juga membantunya dari segi kewangan dan sokongan moral selain menyi–apkan semua dokumen yang perlu untuk membantunya pulang semula ke Malaysia.
Bagaimanapun, Normah menolak untuk pulang ke negara ini selepas memikirkan bakal kehilangan hak ke atas semua anak-anaknya yang juga warga Tunisia sekiranya dia bercerai dengan suami.
Derita sekeluarga
Menurut Normah, suaminya terus ditahan di penjara sepanjang tempoh itu dan dipindah dari satu penjara ke penjara lain sehingga dia mempunyai ramai kenalan daripada kalangan keluarga yang senasib dengannya.
Kerajaan ketika itu terlalu paranoid dan tidak membenarkan sebarang perbualan di antara beberapa orang terutama sekiranya orang itu bertudung atau penampilannya kelihatan Islamik.
Malah wanita yang bertudung juga diminta menanggalkan tudung atau berhadapan dengan hukuman antaranya pelajar bertudung tidak dibenarkan menduduki peperiksaan utama hingga mereka tercicir dalam pelajaran.
Anak-anak kepada pejuang yang sudah dipenjarakan juga menjalani kehidupan yang perit dan sukar meneruskan pengajian.
“Permohonan memasukkan anak-anak saya ke sekolah banyak kali ditolak dengan alasan bapa mereka berada dalam penjara.
“Malah salah seorang anak lelaki saya muncul pelajar terbaik sekolah tetapi tidak dibenarkan mengambil hadiahnya,” katanya yang pernah berkongsi kisah hidupnya yang dipaparkan dalam ruangan rencana oleh sebuah akhbar Tunisia, ‘Dhamir’ pada 2012.
Selepas berlaku satu insiden apabila anak sulungnya, Abdul Aziz, 33, ditangkap dan hampir dibunuh oleh pihak polis negara itu empat tahun lalu, Normah membuat keputusan pulang dan membawa sekali anak sulungnya itu ke Malaysia.
Abdul Aziz yang kini menetap di tempat asal ibunya, Kampung Malaysia Raya, Kuala Lumpur bersama Normah pernah berkahwin dengan warga tempatan dan memiliki seorang anak sebelum bercerai.
Dia juga berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai pemandu pelancong di sebuah syarikat di ibu kota memandangkan dia fasih dalam lima bahasa iaitu Arab, Inggeris, Perancis, Itali dan Malaysia.
Normah berkata, tidak lama selepas berkahwin, anaknya itu ditinggalkan isteri selepas dia menjadi hilang pertimbangan dan merayau tanpa kasut di sekitar ibu kota akibat tekanan perasaan yang hebat.
Semuanya berlaku selepas dia mendengar adik ketiganya yang masih berada di Tunisia melarikan diri selepas dikejar pihak berkuasa dan sehingga kini gagal dikesan.
“Dia berasa sangat bersalah kerana menganggap tanggungjawabnya untuk menjaga adik-adik tetapi dia meninggalkan mereka sehingga adik ketiga hilang.
“Sebagai anak sulung, sememangnya dia menanggung beban emosi yang berat sejak kecil. Bayangkan ketika dia sepatutnya ke sekolah, dia terpaksa membantu saya mencari sesuap nasi untuk adik-adiknya dengan berniaga apa saja barang yang boleh kami jual,” katanya.
Selepas hampir 16 tahun menderita, berita gembira diterima mereka sekeluarga apabila suaminya dilepaskan dan hanya sempat bersama keluarga selama empat tahun sebelum menghembuskan nafas akibat sakit jantung.
Mereka juga sempat bersama-sama menubuhkan pertubuhan seni mempertahankan diri Tunisia iaitu Zamaktel yang mendapat sambutan menggalakkan.
Sebaik kerajaan lama tumbang, semua tekanan ke atas dirinya dan keluarga beransur hilang namun Normah menaruh harapan supaya semua anaknya pulang dan menetap di Malaysia.
“Bukan semua anak mahu tinggal di sini terutama yang sudah berkahwin dengan orang di sana tetapi saya ada mengajak mereka singgah untuk lihat negara Malaysia yang sungguh aman berbanding Tunisia.
“Revolusi di Tunisia ketika ini masih belum habis sepenuhnya dan keadaan politiknya tidak stabil, membuatkan keadaan ekonomi juga sukar maju,” katanya yang fasih berbahasa Arab dan Inggeris.
Memuji kerukunan di negara ini, Normah berkata, tidak seperti di Tunisia, Malaysia memberi kebebasan penuh kepada orang Islam untuk belajar, maju dan mengadakan perbincangan Islam.
Katanya, masyarakat Islam di Malaysia seharusnya bersyukur dengan keamanan di negara ini dan tidak memperjudikannya kerana ia sungguh berharga dan sangat didambakan oleh rakyat Tunisia yang hidup dalam penindasan.
Ketika ini, Normah mengharungi setiap saat bersama adik-beradiknya sambil ditemani anak sulungnya. Dia merancang untuk pulang sesekali ke Tunisia melawat anak-anak dan cucu yang masih menetap di sana.
Sumber:Hmetro
No comments:
Post a Comment