Thursday, January 30, 2014

Ibu lega suspek dihadap ke mahkamah

Susulan kes kematian 3 beradik entry yang lepas rujuk http://d-onez1.blogspot.com/2013/12/tragedi-3-beradik-dibunuh.html

“Saya begitu merindui gelak tawa mereka, malah bayangan wajah ketiga-tiga anak yang muncul sambil menyebut ‘mama’ ketika mahu melelapkan mata, baru-baru ini membuatkan hati kecil menjadi sayu dan sedih.”

Begitu kata Siti Aisyah Ariffin, 40, yang kehilangan tiga anak perempuan iaitu Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, Nur Izzati Husna Rusdi, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, dalam sekelip mata apabila ditemui mati di dua lokasi berbeza, hujung tahun lalu.

Siti Aisyah berkata, dia reda dengan ketentuan takdir pemergian tiga beradik itu buat selama-lamanya sejak dua bulan lalu, namun naluri kasih sayang sebagai ibu tidak pernah pudar terhadap anak-anaknya.


“Saya seolah-olah nampak bayangan mereka sehingga sekarang. Ia saat paling menyedihkan namun saya tetap reda dengan ketentuan Ilahi.

“Sebagai ibu, saya rasa berpuas hati apabila insan yang bertanggungjawab terhadap kejadian menimpa anak-anak saya akhirnya dibawa ke muka pengadilan selepas lebih sebulan berlalu.

“Biarlah dia menerima balasan setimpal dan rasa penyeksaan yang kami rasa selama ini akibat kehilangan anak,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Difahamkan, Siti Aisyah bersama suami Rusdi Rani, 39, kini berada di Besut, Terengganu bagi mengadakan majlis tahlil untuk ketiga-tiga arwah anak mereka.

Akhbar semalam melaporkan seorang penganggur Mohd Firdaus Mohd Faridul, 19, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, terhadap tuduhan membunuh seorang daripada tiga beradik perempuan itu, tahun lalu.
Mohd Firdaus didakwa dengan niat melakukan pembunuhan menyebabkan kematian terhadap Noor Syafikah di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar, di sini, antara jam 9.30 malam hingga 11.30 malam pada 29 November tahun lalu.

Harian Metro pada 17 Januari lalu melaporkan misteri kematian tiga beradik perempuan di dua lokasi berasingan di Kampung Senibung dan tali air Kampung Padang Petani, di sini, terjawab apabila dua lelaki berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

======================================================

Polis sifatkan kes bunuh

 Penemuan mayat tiga beradik perempuan di dua lokasi berbeza masing-masing di Alor Senibung dan tali air Padang Petani, di sini, dalam masa 24 jam menimbulkan pelbagai tanda tanya berhubung motif kejadian.

Mayat mangsa pertama, Norsyafika Nadia Rusdi, 14, ditemui di sebuah kawasan sawah terbiar berhampiran Alor Senibong, di sini, iaitu kira-kira 12.2 kilometer dari rumah mereka yang terletak di Kampung Alor Semela pada jam 3.45 petang, kelmarin.

Kira-kira 24 jam kemudian, dua lagi adiknya, Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemui kurang 100 meter antara satu sama lain di tali air Padang Petani, Langgar, di sini, kira-kira jam 4 petang, semalam.


Jarak lokasi penemuan mayat Norsyafika dengan lokasi penemuan mayat dua adiknya dianggarkan kira-kira 2.5 kilometer dan mayat mangsa pertama ditemui dalam keadaan separuh bogel.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, laporan bedah siasat menunjukkan Norsyafika mati akibat lemas dan tiada kecederaan di bahagian kemaluan mangsa.

Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mengesyaki wujud elemen mencurigakan dalam kes membabitkan kematian ketiga-tiga beradik itu.
“Kematian Norsyafika disebabkan faktor lemas, namun kami yakin punca mangsa lemas disebabkan faktor luar biasa termasuk membabitkan elemen jenayah.

“Kita ambil kira banyak faktor termasuk keadaan penemuan mayat yang mencurigakan di dua lokasi berbeza. Kita juga akan nilai semua aspek jenayah dan segala kemungkinan boleh berlaku.
“Justeru, kita klasifikasikan kes membabitkan kematian ketiga-tiga mangsa ini sebagai kes bunuh dan kita akan tunggu hasil laporan bedah siasat ke atas dua lagi mayat yang akan dijalankan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat mangsa di Padang Petani, semalam.

Difahamkan, ada saksi yang juga saudara terdekat mangsa mengakui ternampak ketiga-tiga beradik itu singgah seketika di sebuah kedai makan berhampiran rumah mereka kira-kira jam 9 malam, Jumaat lalu, sebelum masing-masing gagal dikesan dan ditemui mati.

Sumber:hmetro Jom Klik:

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...