Sunday, March 03, 2013

Pencerobohan Askar Diraja Sulu di Malaysia Part 1


Lima polis korban serang hendap di Semporna

Oleh Mohd Razlan Salleh dan Muhaamad Hafis Nawawi
LAHAD DATU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pasukan tambahan ke Semporna berikutan kejadian serang hendap sekumpulan penjenayah bersenjata api yang mengorbankan lima anggota polis di Kampung Sri Jaya, Siminul, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, polis yang menerima maklumat terdapat beberapa individu bersenjata di perkampungan atas air berkenaan bergegas ke tempat kejadian. 
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, satu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna yang tiba ke tempat kejadian tiba-tiba diserang sekumpulan penjenayah yang melepaskan tembakan. 

Menurutnya, bagaimanapun dalam serangan terbabit seorang pegawai, Superintendan Ibrahim Lebar dan empat anggota polis terkorban. Dua penjenayah yang menyerang polis turut terbunuh.

"Kita juga sudah menghantar pasukan tambahan ke Semporna bagi meningkatkan keselamatan di sana.

"Sementara itu, pada 10 malam tadi kita mengesan 10 orang telah menceroboh Kampung Lormalong dan Kampung Dasar Lama di Kunak, dekat sini. Kita percaya mereka ini adalah orang luar dan bukan rakyat negara ini," katanya pada sidang media Ops Sulu di Felda Sahabat 16, di sini, semalam. 

Ismail berkata, tiga daripada penceroboh terbabit dipercayai bersenjata dan pihaknya kini sedang berusaha mengesan kumpulan itu. 

"Setakat ini hanya tiga kawasan terbabit dan daerah lain tiada apa yang berlaku. 

"Kita juga sedang menyiasat sama ada ketiga-tiga kejadian ini mempunyai kaitan dengan pencerobohan di Kampung Tanduo," katanya. 
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03 12  4
- See more at: http://www.hmetro.com.my/articles/LimapoliskorbanseranghendapdiSemporna/MA/Article#sthash.v60CZW89.dpuf

No comments:

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...