Monday, March 04, 2013

Pencerobohan Askar Diraja Sulu di Malaysia Part 5


Penduduk tembak penceroboh

Semporna: Deruan enjin helikopter membuka ruang kepada penduduk kampung memulakan tindakan yang kemudiannya berjaya menumpaskan seorang penceroboh yang sebelum itu menawan kira-kira 80 penduduk penempatan atas air Kampung Senallang Lama, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian bermula kira-kira jam 2 pagi itu, lelaki terbabit yang berusia 60-an dan bersenjatakan raifal M16 serta pelancar grenad akhirnya dibunuh beberapa penduduk kampung dengan senjata miliknya itu.

Seorang penduduk kampung yang menjadi tawanan lelaki itu selama kira-kira tujuh jam berkata, suspek pada mulanya menembak beberapa rumah bagi menakutkan penduduk sebelum mengarahkan mereka berkumpul.
“Lelaki itu berbangsa Sulu dan dia sememangnya dikenali semua penduduk kerana sudah lama tinggal di kampung kami,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ijan, 30-an berkata, kejadian bermula kira-kira jam 2 pagi apabila lelaki Sulu terbabit datang ke rumahnya dan meminta dihantar ke Kunak.

“Tetapi, saya enggan kerana dia bersenjata. Lelaki itu kemudian meninggalkan rumah saya tapi dia datang semula kira-kira jam 4 pagi bersama sekumpulan 20 penduduk kampung yang dijadikan tawanan,” katanya.
Menurutnya, lelaki itu dengan angkuh turut memberitahu penduduk kampung bahawa dia antara penceroboh yang menembak mati enam pegawai dan anggota polis dalam kejadian serang hendap di Kampung Sri Jaya, Siminul, di sini, malam kelmarin. “Selepas hari agak cerah (kira-kira jam 9 pagi), saya bersama penduduk kampung yang ditawan dibawa ke Kampung Masjid yang terletak tidak jauh dari rumah ketua kampung. Kami dikumpulkan beramai-ramai termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Saya merayu supaya dia membebaskan wanita dan anak-anak. Pada mulanya dia enggan, namun selepas dirayu dia bersetuju. Tidak lama selepas itu, beberapa penduduk berbisik dengan saya bahawa mereka akan serang lelaki itu jika dia terleka,” katanya.
Ijan berkata, dia kemudiannya berusaha mengalihkan perhatian lelaki itu dan sentiasa mengajaknya berbual sebelum semua tawanan diarahkan berjalan ke hujung kampung dan berhenti di sebuah pondok usang.

“Sebelum tiba pondok itu, setiap rumah yang kami lepasi, penghuninya akan dijadikan tawanan. Ketika tiba di pondok, bilangan kami bertambah hingga 40 orang.

“Di rumah pondok itu juga kami cuba mengalihkan perhatiannya dan mahu menyerangnya. Dalam kami cuba mengalih perhatian itu, kami dikejutkan dengan bunyi helikopter di udara menyebabkan lelaki itu panik,” katanya.

Menurutnya, biarpun dalam keadaan tertekan, suspek masih cuba bertindak berani dengan mengugut penduduk kampung.

“Dia memberi amaran kalau dia ditembak, dia akan tembak kami semua. Lelaki itu kemudian duduk di bawah pokok nangka tidak jauh dari pondok.

“Ketika itulah dua penduduk kampung memeluk lelaki itu dan seorang lagi memukulnya dengan sebatang kayu. Dalam keadaan kelam-kabut itu, senjata yang digenggam lelaki itu terlepas daripada genggamannya.

“Beberapa penduduk kemudian mengambil senjata itu dan menembak lelaki terbabit hingga mati. Kami kemudian pergi ke balai polis dan membuat laporan mengenai kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib mengesahkan kejadian itu dan siasatan awal mendapati si mati adalah seorang daripada individu yang melakukan serang hendap di Kampung Sri Jaya, Siminul yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan mendapati lelaki itu menyelinap masuk melalui jalan pantai ke Kampung Senallang Lama sebelum mengarahkan kira-kira 80 penduduk kampung berkenaan supaya keluar berkumpul di satu kawasan lapang. “Ekoran itu, 20 penduduk kampung bertindak dengan menangkap dan menyerang lelaki itu hingga mati. Walaupun tindakan itu dari segi undang-undang nampak salah, tetapi kita perlu ingat mereka dianggap tawanan. “Mereka mengambil tindakan balas untuk menyelamatkan diri,” katanya pada sidang media di Residential Felda Sahabat, dekat Lahad Datu, semalam.

********************************************************************************





Penceroboh mati dipukul penduduk


Mohd. Shafie Apdal (kanan) melihat mayat seorang lelaki yang dipercayai tentera 
Kesultanan Sulu yang mati dipercayai dipukul penduduk di Kampung Sinalang Lama,
 Lahad Datu, semalam.

LAHAD DATU 3 Mac - Seorang penceroboh yang terlibat dalam serangan hendap ke atas pasukan keselamatan di Kampung Srijaya Simunul di sini, mati selepas dipukul penduduk kampung.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, lelaki berusia 60-an itu dipukul oleh lebih 20 penduduk Kampung Sinalang Lama Kabogan yang berang selepas lelaki berkenaan cuba menawan 80 penduduk kampung tersebut.
"Lelaki berkenaan yang bersenjatakan M16 dan pelancar roket menyelinap masuk ke kampung berkenaan yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Kampung Srijaya Simunul sebelum mengarahkan penduduk keluar rumah dan menuju ke Masjid Sinalang Lama.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130304/je_02/Penceroboh-mati-dipukul-penduduk#ixzz2MWYn9QRF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

ShareThis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...